Selamat datang....Welcome...Irrashaimase....

Here is the place where I jot down my creative writing. Be it in Bahasa Malaysia or English, it's still come from my sometimes dysfunctional brain. Hope you enjoy your visit to this site. I will try to update or write often :). Have a nice day

Friday, April 29, 2011

Ayu Rania 1

"Sudahlah Damak! Tak mahu aku mendengarkan kata-kata dustamu. Cintamu tak ubah seperti kepulan awan yang berarak pergi tanpa mempedulikan sesiapa. Cantik dipandang namun tidak setia di suatu tempat!" bentak si Dang Merduwati.

"Nia..." ucap suatu suara yang asing tapi biasa namun mengapa wajah Damak beransur-ansur hilang. Dang Merduwati terpinga-pinga siapa Nia?

"Hoi, Nia!" semakin kuat suara itu di telinga Ayu Rania dan semakin kuat tolakan di bahu. Dia membuka matanya perlahan-lahan. Mimpikah aku, ulangnya di dalam hati. "Ayu Rania Badaruddin. Awat hang lena tengahari buta ni macam hang tidoq malam?" marah kawan baiknya Marini. Rania menguap malas sambil menggeliat

"Adoilah. Yang kau marah sangat ni kenapa?" tanya Rania membetul dan mengurut lehernya.

"Tu hang salah. Aku dak marah eh...Aku happy tak nampak? Yang hang pi lena dalam bilik stor ni awat? Tu...Naga merah tengah cari hang, hang tau dak? Sebelum dia dapat tangkap hang lena lagi sekali dalam ni, baik hang bangkit," terang Marini dengan lebih tenang.

"Kalau dia dapat tangkap aku pun apa dia boleh buat, aku tidur masa lunch break kan?" jawab Rania sambil menggenyeh matanya yang ketat. Dia menguap sekali lagi. Marini hanya menggelengkan kepalanya melihat Rania. Dia tak perlu bertanya mengapa Rania begitu keletihan kerana sudah tentu Rania menggunakan masa tidurnya untuk mencari ilham bagi novelnya. Terlalu komited namun desakan hidup menjanjikan tempat Rania di kilang elektronik selepas syarikat milik keluarga bapa angkatnya jatuh bankrap kerana salah percaturan pemilikan saham. Rania yang sudah di tahun kedua pengajian di dalam bidang kesusasteraan mengambil keputusan berhenti bagi membantu kedua ibubapanya yang telah membuka gerai nasi lemak di taman perumahan mereka. Segalanya hilang. Rumah sekarang disewa setelah rumah agam mereka dilelong oleh pihak bank bagi menampung kerugian.

"Kau dah makan belum?" tanya Marini sambil mengangkat beg plastik yang berisi nasi bungkus dan minuman.

"Mar...kaulah kawan aku dunia akhirat! Nanti bila aku sudah berjaya, kau akan tetap bersama aku," jawab Rania ceria. Marini hanya tersenyum kerana dari sekolah rendah hinggalah menengah Ranialah yang sentiasa bersama dalam susah dan senang dan dia juga banyak menyokong Marini. Biarpun Rania sudah pun di universiti, dia akan pastikan sebulan sekali mereka berdua akan bertemu dan saling bertukar cerita.

"Kita ada masa lagi 15 minit, mari kita ke bawah pokok," pelawa Marini. Rania mengambil bungkusan itu dan terus berjalan keluar dari stor. Sesampai sahaja di pangkin di bawah pokok ceri, mereka menyelesakan diri mereka di situ. Rania membuka bungkusan makanan itu dan terus makan tanpa kata. Marini dapat mengagak yang Rania sudah pasti terlepas masa makan semalam cuma dia tidak berapa pasti berapa lama sudah Rania tidak makan.

"Erp, alhamdulillah," ucap Rania sebaik sahaja sudah makan. Dia meneguk sekaligus minuman teh o ais yang dibeli oleh Marini.

"Kau terlupa makan ke?"tanya Marini spontan. Lama Rania menghitung dalam kepalanya kali terakhir dia makan.

"Er, kali terakhir aku makan er, pagi semalam pukul 11."

"Kenapalah kau ni Nia. Kau mesti jaga makan kau tu kau tau tak?

"Kau tak perlu risau...sebab cuba kau tengok aku ni...lemak-lemak tepu masih banyak tau!" Rania melawak. Marini tergelak mendengarkan lawak spontan Rania. Itulah Nia yang dia kenal suka membuat lawak tentang tubuhnya yang kurang kurus.

"Nia, kau bukanlah gemuk sangat. tembam sikit je. Biarpun begitu, kau gebu-gebu gitu."

"Mar, kau ingat aku kucing ke?" balas Rania. Berderai ketawa mereka berdua dan ketika itulah, siren dibunyikan tanda waktu rehat sudah habis.

Wednesday, April 27, 2011

sinopsis Ayu Rania

Siapa itu Ayu Rania? Orangnya tidak seindah nama kerana Ayu Rania bukan berperawakan seperti bintang Hollywood mahupun artis di Malaysia ini. Namun dia berbakat dalam bidang penulisan, suka membaca, suka menerima cabaran, sangat menghormati orang tua dan merupakan anak yang sangat penyayang biarpun Ayu Rania hanyalah anak angkat Encik Karim dan Puan Kamaliah. Ayu seorang anak yatim yang diambil oleh Karim dan Kamaliah sebagai penyeri hidup mereka. kehidupan Ayu yang agak biasa berubah apabila ayahnya Karim jatuh sakit dan memerlukan wang yang banyak untuk kos perubatannya. Buntu dalam cuba membantu ibubapanya Ayu terpaksa menerima tawaran menjadi isteri di dalam satu perkahwinan kontrak dengan Jefri seorang jurutera yang juga anak kepada seorang jutawan. Jefri terpaksa berkahwin dengan ciri-ciri wanita yang ditetapkan atau dia akan digugurkan dari wasiat ayahnya. Jefri yang sudahpun mempunyai pilihan hati terpaksa akur dengan permintaan itu. Teman wanitanya Elena Dato Bukhari menjadi perancang penipuan bersama Jefri agar segala harta dapat dimiliki oleh mereka berdua. Kontrak perkahwinan itu adalah selama 31 hari yang mana mereka berdua akan bercerai setelah urusan guaman selesai dan Jefri mendapat apa yang dicitakan. Apakah nasib gadis yang bernama Ayu Rania? Sila ikuti siri-siri yang bakal ditulis di sini.

Prelude novel bersiri AYU RANIA

Ok kawan2,minta maaf sbb x update this blog beberapa kurun lamanya.:) untuk kali ini saya akan memberikan sinopsis novel AYU RANIA.Anda perlu tahu yg novel ini hanya diedit di atas batu jemala patik yang tak tau ini.jadi saya akan cuba menulis sebaik mungkin biarpun pada dasarnya saya menaip.